|
WANITA GOMBAK BERI BANTUAN BEG SEKOLAH KEPADA TABIKA KEMAS


RAWANG- Sebanyak 1,500 beg sekolah telah diagihkan kepada Tabika KEMAS Parlimen Gombak untuk diberikan kepada kanak-kanak miskin bagi memulakan sesi persekolahan hari ini agar mereka tidak terus ketinggalan dari segi pelajaran dan dapat meneruskan pelajaran sama seperti kanak-kanak lain walaupun kurang berkemampuan.
Menurut Ketua Pergerakan Wanita bahagian Gombak, Datin Sharifah Salmah Syed Agil, program bantuan yang diadakan pertama kali itu telah berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang bagi membantu pelajar-pelajar miskin untuk memulakan sesi persekolahan dengan semangat baru untuk berjaya seperti insan lain walaupun keluarga mereka kurang berkemampuan.
"Ini menunjukkan Pergerakan Wanita begitu prihatin terhadap mereka yang kurang berkemampuan dan tidak mengabaikan tanggunjawab sosial untuk membantu kanak-kanak Tabika dan ianya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak.
"Malah, pelajar-pelajar cemerlang Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) juga diraikan dengan sumbangan berbentuk wang ringgit sebagai tanda sokongan kami kepada mereka untuk meneruskan pengajian agar lebih cemerlang di masa akan datang,"katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Beg Sekolah kepada Tabika KEMAS dan Anugerah Cemerlang UPSR Parlimen Gombak yang telah diadakan di Commenwealth Park and Resort baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis itu, Ketua Bahagian UMNO Parlimen Gombak, Rahim Kamaruddin, Timbalan Ketua Bahagian, Said Anuar, Naib Ketua Bahagian Aziz Jantan, Ketua Pegawai Eksekutif,Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Mohd Ali Mansor dan ketua-ketua wanita cawangan.
Sumbangan beg sekolah daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) telah disampaikan oleh Mohd Ali Mansor sendiri selaku Ketua Pegawai Eksekutif, YPM.
Sharifah Salmah juga berharap mereka yang kurang berkemampuan tidak akan terus dilupakan dan diabaikan serta program seperti itu akan terus diadakan di masa akan datang di Parlimen Gombak. | KEMAS ANJUR PROGRAM MASAKAN LAHIR USAHAWAN MUDA


GOMBAK- Seramai 40 orang peserta menyertai program Jari-jemari Kreatif Demontrasi Masakan anjuran Kemas bersama Pergerakan Wanita UMNO bahagian Gombak di Bengkel Jahitan Batu 7, di sini baru-baru ini.
Program bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan daripada kalangan suri rumah dan golongan remaja telah mendapat sambutan menggalakkan daripada mereka yang berminat untuk mempelajari masakan dan penyediaan makanan barat.
Ketua Pergerakan Wanita Bahagian, Datin Sharifah Salmah Syed Agil berkata, program yang dijalankan sepanjang tahun itu dapat menambahkan pendapatan sampingan kepada mereka yang menyertai program tersebut.

"Program selama tiga hari itu berjalan seperti yang dirancang dan mereka yang menghadiri terdiri daripada mereka yang berminat untuk mempelajari masakan barat dan penyediaan makanan yang betul.
"Tenaga pengajar mahir menunjukkan teknik-teknik yang betul kepada peserta agar mereka dapat mempraktikkan sendiri selepas tamat program ini bagi menambahkan pendapatan mereka sendiri.
"Pergerakan Wanita bahagian sentiasa memberikan kerjasama untuk menjayakan program-program seperti ini bagi membolehkan suri rumah menambah pendapatan mereka melalui program-program yang telah dijalankan,"katanya. | |
WANITA GOMBAK BANTU MANGSA TANAH RUNTUH BUKIT ANTARABANGSA


HULU KLANG- Pergerakan Wanita UMNO bahagian Gombak prihatin dan sanggup 'turun padang' membantu mangsa bencana tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, baru-baru ini.
Ketuanya, Datin Sharifah Salmah Syed Agil berkata, pihaknya 'terpanggil' untuk meringankan beban mangsa tanah runtuh dengan memberikan bantuan berupa sarapan pagi dan membantu memasak makanan bagi mereka yang telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

"Seramai 150 orang ahli jawatankuasa dan ketua wanita cawangan bagi bahagian Gombak telah sepakat untuk membantu mangsa dan ahli keluarga mereka dengan memberikan bantuan berupa makanan.
"Ini menunjukkan sikap keprihatinan kami kepada mereka yang memerlukan bantuan tidak kira waktu dan tempat,"katanya.
Beliau berharap mangsa dan keluarga tabah menghadapi dugaan ini lebih-lebih lagi ketika umat Islam sibuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Korban.
| KURSUS DANDANAN RAMBUT SIRI 2 DAPAT SAMBUTAN

GOMBAK - Bengkel seni kecantikan dan dandanan diri mendapat sambutan yang menggalakkan daripada suri rumah dan golongan remaja yang telah diadakan di KEMAS, Kampung Nahkoda, baru-baru ini.

Bengkel selama tiga hari itu anjuran Pergerakan Wanita UMNO bahagian Gombak itu disertai oleh 15 orang peserta memasuki siri kedua dimana peserta diajar mempelajari teknik-teknik mengunting rambut dan pelbagai guntingan rambut, penjagaan dan dandanan rambut serta lain-lain lagi.
Selain itu, ia juga bertujuan memberi pendedahan dan mempelajari teknik-teknik yang betul mengenai spa seperti teknik urutan moden dan tradisional, cara-cara pelbagai mandian lulur dan perkara-perkara yang berkaitan dengan spa.
Peserta diajar oleh tenaga pengajar profesional daripada KEMAS dan mereka boleh menambahkan sumber pendapatan masing-masing selepas tamat bengkel tersebut dengan membuka kedai gunting rambut dan spa secara kecil-kecilan.

|
GOMBAK – Wanita UMNO Bahagian Gombak menyifatkan tidak ada konsep peralihan kuasa dalam perlembagaan parti sebagaimana pertama kali dilaksanakan dalam pergerakan itu.
Ketuanya, Datin Sharifah Salmah Syed Agil berkata, beliau dari awal lagi tidak bersetuju dengan konsep yang dikemukakan ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz untuk menyerahkan kuasa kepada naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun tahun hadapan.
Menurutnya, Wanita tidak perlu mengikuti langkah yang dilakukan pemimpin atasan melibatkan Presiden dengan Timbalan Presiden UMNO kerana pemimpinnya bukan dalam kalangan Menteri Kabinet.
“Peralihan kuasa ini bukan harta pusaka seseorang. Kedudukan mereka pada jawatan tertinggi kerana dipilih oleh ahli. Tidak ada sebab kalau ahli minta turun, dia (pemimpin) tidak mahu turun.
“Wanita bahagian ini memerlukan pemimpin yang sentiasa turun padang, bukan pemimpin yang datang berjumpa ahli akar umbi ketika menghadapi pilihan raya atau pemilihan pucuk kepemimpinan parti,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Sambil menyifatkan tindakan Shahrizat mencabar Rafidah pada Perhimpunan Agung UMNO Mac ini, Sharifah Salmah berkata, ia wajar.
Beliau berkata, bekas naib itu tidak perlu menunggu sehingga Jun untuk memegang jawatan ketua kerana ahli tidak pernah menjangka berlaku peralihan.
“Perwakilan di setiap bahagian di seluruh negara mencalonkan Shahrizat sehingga mendapat 77 pencalonan bagi merebut jawatan ketua adalah sebagai isyarat kepada Rafidah, dia perlu turun.
“Pertandingan tidak dapat dielakkan kerana ahli memerlukan pembaharuan, tetapi pihak atasan tidak memahami kehendak akar umbi. Ini yang dikatakan demokrasi. Kita perlu jaga dan laksanakan,” katanya.
Menurutnya, Wanita bahagian itu akan memberi sokongan penuh kepada Shahrizat dan berharap sayap kanan parti itu akan melalui proses perubahan pada penggal akan datang.